Monday, April 4, 2011

Pelajar disaran kuasai bahasa Jepun


PUTRAJAYA 4 April - Para pelajar sekolah menengah disaran mengambil kesempatan menguasai bahasa Jepun sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke negara matahari terbit itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, sehingga kini terdapat 51 sekolah berasrama penuh (SBP) dan 40 buah sekolah menengah harian yang menawarkan mata pelajaran bahasa Jepun.

"Bagi mengukuhkan lagi penguasaan pelajar, 120 guru bahasa Jepun telah disediakan untuk mengajar di SBP dan sekolah menengah harian yang terpilih.

"Untuk menilai tahap pencapaian murid, peperiksaan pencapaian di bawah pengelolaan Bahagian Perkembangan Kurikulum akan diadakan bagi pelajar tingkatan empat," katanya ketika berucap pada Majlis penyerahan Cek Perolehan Peralatan Pengajaran Bahasa Jepun di Sekolah-Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu Abd. Ghafar menerima replika cek bernilai RM40,000 daripada Pengarah Yayasan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (JACTIM), Kenji Kojima bagi menanggung kos pembiayaan peralatan pembelajaran bahasa Jepun untuk 35 buah sekolah di negara ini.

Menurut Abd. Ghafar, bagi pelajar yang menduduki peperiksaan bahasa Jepun, sijil penguasaan bahasa Jepun akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Yayasan Jepun Kuala Lumpur.

Selain itu katanya, penguasaan bahasa Jepun di sekolah bukan sahaja bermatlamat untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan semata-mata tetapi bertujuan mendedahkan budaya cemerlang masyarakat Jepun itu sendiri.

"Bagaimanapun menjadi satu kelebihan kepada pelajar terlibat melanjutkan pelajaran di negara itu dan pendedahan awal ini memudahkan mereka membuat persedian apabila belajar di sana," katanya.

SUMBER: UTUSAN
.............................................................................................................

Wah..nampaknya amat bagus kalau pelajar menguasai pelbagai bahasa. saya pun teringin nak belajar bahasa jepun ni.

kepada guru-guru kuasailah pelbagai bahasa disamping kita mempelajari sesuatu budaya itu.

No comments:

Post a Comment